Tuesday, January 4, 2011

Ronaldo Gah Ledak Dua Gol Real Tumpaskan Getafe

www.tips-fb.com MADRID: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-18 dan 19 dalam La Liga musim ini ketika Real Madrid mengekang asakan lewat untuk menang 3-2 di gelanggang jiran, Getafe kelmarin dan mengurangkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu, Barcelona.
Penyerang Portugal, Ronaldo meledakkan jaringan pada setiap babak manakala Mesut Ozil menambah satu lagi bagi memastikan Real terus menghambat juara, Barca, yang melebarkan pendahuluan kepada lima mata selepas menang 2-1 ke atas Levante Ahad lalu.
Jurulatih Real, Jose Mourinho memberikan pemain tengah Kaka peluang beraksi pada tempoh 15 minit terakhir dalam penampilan pertama perancang Brazil itu musim ini selepas pembedahan lutut.

Mereka mendahului pada minit ke-11 di Coliseum apabila Angel Di Maria dijatuhkan di dalam kotak penalti dan Ronaldo menyempurnakan penalti melepasi penjaga gol Getafe, Jordi Codina.

Di Maria melorongkan bola kepada Ozil bagi gol kedua Real pada minit ke-19 sebelum Dani Parejo menggelecek melepasi Alvaro Arbeloa dan Lassana Diarra sebelum meledakkan rembatan kencang melepasi penjaga gol Real, Iker Casillas, 10 minit kemudian.

Ronaldo kelihatan menjadikan kedudukan selamat 12 minit memasuki separuh masa kedua dengan penyudah cantik hasil hantaran Karim Benzema, yang meletakkannya dua gol di depan penyerang Barca, Lionel Messi dalam senarai penjaring La Liga.
Namun, penyingkiran pertahanan Real, Arbeloa pada minit ke-82 kerana kad kuning kedua menyemarakkan tuan rumah. Pemain gantian, Juan Albin memanfaatkan bola yang gagal dikeluarkan pertahanan pada minit ke-85 untuk memberikan harapan buat Getafe tetapi mereka gagal menemui jaringan penyamaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...