Munich: David Moyes mengaku Manchester United melakukan ‘kesilapan budak sekolah’ dengan mensia-siakan pendahuluan babak kedua menentang Bayern Munich apabila pasukannya tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara.
Juara bertahan Bayern menang 3-1 ke atas United di gelanggang sendiri pada suku akhir kedua, awal pagi semalam untuk mara 4-2 secara agregat.
United mensia-siakan pendahuluan 1-0 berikutan rembatan menakjubkan Patrice Evra pada minit ke-57 apabila Bayern menyamakan kedudukan 69 saat kemudian menerusi Mario Mandzukic, gol pertama daripada tiga gol Bayern dalam tempoh setengah jam terakhir.
Thomas Mueller membantu Bayern mendahului sebelum Arjen Robben menjaringkan gol ketiga tuan rumah untuk menyingkirkan anak buah Moyes daripada pertandingan itu dan mencerahkan peluang pasukan penyandang juara itu mara ke final 24 Mei ini di Lisbon.
“Pemain beraksi dengan hebat malam ini, satu-satunya kesilapan adalah kami membenarkan mereka menyamakan kedudukan hanya selepas beberapa saat,” kata Moyes.
“Saya mempunyai pasukan dengan pemain berpengalaman dan sesuatu yang anda belajar sebagai budak sekolah adalah menumpukan perhatian dan melaksanakan tugas selepas menjaringkan gol.
“Saya gembira dengan persembahan mereka namun beberapa kesilapan kecil mengecewakan kami.
“Kami bertindak dengan bagus untuk mengekang setiap gerakan mereka dan amat mengecewakan membiarkan mereka membalas begitu pantas.
“Kami berjaya mengekang mereka dalam tempoh yang lama, tapi ia tidak berkekalan.
“Kami mempunyai peluang besar untuk menjadikan 2-2 ketika kedudukan 1-2 dan kami mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol berbanding suku akhir pertama.”
United kini menghuni tangga ketujuh Liga Perdana dan turut terkandas daripada Piala FA, tapi Moyes menegaskan beliau melihat tanda-tanda peningkatan dalam usaha membentuk semula pasukan selepas persaraan Alex Ferguson musim lalu.- AFP

No comments:
Post a Comment